Thursday, April 28, 2011

On the road again! (Part 2)

Opening ala Ultras Atalanta

Mohon maaf sekiranya artikel episod kedua dan terakhir Brigate Gialloblu (BGB) berkunjung ke Ipoh ini agak terlewat, ini kerana aku agak sibuk dan masih terbuai-buai dengan kemenangan pertama Perlis menewaskan Negeri Sembilan di Stadium Utama Kangar 16 April lalu.

Tidak payah panjang cerita kita imbas sedikit pada babak akhir episod pertama di mana crew BGB berjaya menjejak kaki ke dalam Stadium Perak, Ipoh. Kami tidak masuk sambil mendendangkan lagu 'gendang dipalu pengantin baru' sebaliknya semua masuk dengan bersemangat walaupun tanpa sepatah kata.

Kami memilih curva di sebelah kanan granstand (tidak ingat gate nombor berapa) bertentangan dengan curva sebelah kiri granstand yang menjadi tempat Silver State Ultras, semua sibuk membuat persiapan menggantung banner dan memasang panji BGB, ada yang bertukar-tukar pendapat dan ada yang meneruskan aktiviti menampal sticker, suasana permulaan yang sangat harmoni bagi aku sebelum perlawanan bermula.


Stadium Perak memang sangat tinggi, aku sudah rasa seperti berada di Nou Camp mahupun Bernabeu tetapi semua itu tidak melemahkan semangat kami berada di altitud tinggi sokongan juga perlu tinggi, lampu stadium dipasang sedikit demi sedikit, kelihatan pemain mula memasuki padang untuk memenaskan badan, penyokong Perak juga sudah mula memasuki stadium.


Memang gementar dan gemuruh, macam-macam perkara bermain dalam fikiran aku, bagaimana penerimaan penyokong Perak terhadap kami, bagaimana peluang pasukan Perlis, adakah sejarah akan tercipta, Perlis mencatat kemenangan pertama, Perak mencatat kekalahan pertama, kekuatan crew adakah sepenuh jiwa, adakah akan melakar sejarah sokongan paling hebat untuk game away?.

Capo memberi isyarat akhir, bila-bila masa sahaja crew BGB akan bermula chant, SSU juga sudah bersedia, kami cuba dengan chant pengenalan 'di sini Perlis, di sana Perak', ternyata ia disambut dengan baik oleh SSU memang permulaan yang sangat manis, pengadil alunan lagu rasmi FIFA dan pemain berarak masuk ke dalam padang, tidak terkecuali penyokong lalang Perak yang menimbulkan bibit provokasi, persetan semua itu kami tidak layan sokongan hanya diberikan kepada pasukan tercinta, Perlis.

Aksi separuh masa pertama boleh dikatakan seimbang, walaupun tidak silap aku dua kali percubaan pemain Perak menyinggah ke palang, provokasi juga menjadi semakin hebat, kedatangan sekumpulan remaja ala-ala mat rempit (ada sorang tu cute macam perempuan, gigi jarang tapi rambut panjang, rasa macam nak buat adik angkat) tidak melunturkan semangat kami, malah kami semakin bersemangat.

Minit ke-43, stadium bergema, bergema dengan sokongan crew BGB apabila Perlis berjaya menyumbat gol pertama melalui Mohd. Hazwan Zainun, gembira tidak terkata, semuanya menjadi tidak tentu arah, aku masih ingat lagi bagaimana crew Azman dan Abieyang kelam-kabut, hendak menyalakan 'benda', ya benda yang aku maksudkan flare yang sebelum ini dikatakan menjadi barang larangan dinyalakan dan dipegang dengan penuh bangga oleh Azman, menandakan bahawa Perlis sedang mendahului Perak.



Rehat separuh masa, semua crew penat tetapi puas hati kerana mendahului pasukan lawan, aku mendapat sms dari rakan setugas mengenai keputusan perlawanan lain, memang banyak yang mengejutkan, aku mula membuat kesimpulan malam tersebut semua keputusan milik pasukan bukan pilihan dan kemenangan pertama bakal dilakar Singa Utara.

Separuh masa kedua bermula, kami juga menyambung semula chant dengan semangat, mata aku hanya tertumpu kepada Capo a.k.a sesekali aku memandang ke padang melihat aksi semakin rancak pasukan Perlis dan Perak, sesekali aku pandag ke tepi melihat aksi bertenaga crew lain, aku juga sempat memerhatikan gelagat penyokong lawan yang terus bersemangat melakukan provaksi dengan meniru gaya tifo kami.

Kedudukan berubah pada minit ke-61 Perak berjaya menjaringkan gol penyamaan melalui Shahrulnizam Mustapa, kami sedikit kecewa tetapi jika Perlis berjaya membawa pulang satu mata ia sudah dianggap satu kejayaan besar kerana beraksi di tempat lawan, provakasi semakin rancak, malah penonton yang berusia 30-an pula aku lihat perangai mereka macam keanak-anakan mengalahkan geng mat rempit, kami semua menganggap ia sebagai cabaran dan mental tetap diperkuatkan.

Perak semakin galak menyerang, Perlis pula semakin tertekan ditambah dengan kecederaan yang dialami seorang dua pemain sehingga ada yang terpaksa dikeluarkan dan dibawa ke hospital melalui ambulan, tidak silap aku Perak memasukkan K. Nanthakumar pada 10 minit akhir perlawanan.

Kerapuhan benteng Perlis akhirnya dihukum oleh Akmal Rizal Ahmad Rakhli melalui gol kedua ketika dua minit sebelum masa sebenar tamat, menimbulkan suasana gegak-gempita di Stadium Perak, serentak dengan itu juga penyokong lawan di sekitar kami menjadi seperti cacing kepanasan, geng mat rempit melanggar capo tetapi dia tetap tenang dan lebih teruk geng umur pertengahan yang berada di bawah menarik banner kami sehingga koyak dan dicampakkan ke bawah.

Suasana menjadi begitu tegang, sehingga memaksa seorang crew meluru untuk menghentikan perkara menarik banner itu dan disalah sangka bahawa dia ingin menimbulkan pergaduhan, geng mat rempit meluru untuk menunjukkan kejaguhan bagaimanapun semua crew memainkan peranan masing-masing menenangkan keadaan dan tidak mahu menimbulkan perbalahan ala-ala zaman batu, memang ketika itu aku melihat setiap wajah crew, terpancar semangat kekeluargaan yang tinggi.

Aku lihat masing-masing tetap bersemangat walaupun kecewa dengan keputusan dan kekecohan yang berlaku, memang adat jika berkunjung ke stadium lawan, tetapi aku ingin menghamburkan pujian melangit kepada semua crew yang menghadapinya dengan rasional, boleh membezakan mana perkara yang baik dan buruk. Di situlah aku merasakan hubungan kekeluargaan antara kami begitu erat, tidak malu rasanya jika hendak menitiskan air mata, air mata persaudaaraan dan kepuasaan menjadi seorang saudara BGB.

Kalah tetap kalah, sokongan tetap sepanjang zaman, selepas habis perlawanan kami menuju ke bas pemain dengan ada sekelumit kekecewaan di hati, chant terima kasih diberikan kepada pemain, begitu juga dengan SSU, masing-masing melakukan tugas penamat yang baik kepada pasukan masing-masing, babak akhir di Stadium Perak, Ipoh diakhiri dengan chant bersama-sama BGB dan SSU.


Di mana-mana kita bersaudara, BGB dan SSU melakukan upacara chant penutup dengan baik di perkarangan stadium, sambil aku melihat di sekeliling ada segelintir penyokong (bukan ultras) merakamkan tradisi chant bersama ini, walaupun kalah kami tetap bersemangat dan berterima kasih kepada SSU di atas layanan serta sambutan mereka.

Selesai sahaja melakukan chant, semua crew pulang kembali ke kereta dan van masing-masing, kami sempat membuat kesimpulan dan menceritakan semula peristiwa yang berlaku tidak terkecuali aksi pasukan Perlis yang tidak seteruk mana tetapi kurang bernasib baik. Destinasi seterusnya semua mengalas perut di Restoran Vanggey di Ipoh, keletihan terpancar di setiap wajah crew. Semua pulang dengan selamat di Kangar, Pulau Pinang, Sungai Petani, Tanjung Malim, Selangor dan Kuala Lumpur.

Perjalanan kami ke Ipoh memang tidak dapat dilupakan, pelbagai kenangan manis dan pahit akan dikenang sehingga ke akhir hayat, aku yakin setiap crew juga akan bertambah semangat selepas perlawanan menentang Perak itu walaupun kami pulang dengan kekalahan. Itu sahajalah coretan aku buat kali ini, sejarah tercipta, hubungan terbina, keakraban menjelma, semangat menyala, sokongan tetap setia, HANYA PERLIS TERCINTA.

Karya: Ferzalfie Fauzi

2 comments:

  1. Susunan gambar kena dengan story....aku suka

    ReplyDelete