Thursday, June 16, 2011

Selamat Tinggal Liga Super?

Perlis 0-1 Sabah, 14/06/11, Stadium Utama Negeri, Kangar

Malam tadi berakhirlah perjalanan Liga Super 2011 pasukan Perlis Singa Utara di tempat sendiri, Stadium Utama Negeri, Kangar, mengikut jadual keluaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Sebagaimana kerap berubahnya jadual perlawanan Liga Super musim ini, begitu kerap jugalah format pertandingan yang dikelolakan FAM berubah-ubah.

Terbaru, ada ura-ura yang mengatakan keputusan untuk mengurangkan jumlah pasukan bertanding dalam Liga Super 2012 mungkin tidak akan menjadi kenyataan. Sebaliknya, jumlah pasukan yang bertanding musim depan akan ditambah menjadi 16 pasukan. Adapun, sebab dan alasan kemungkinan berlakunya penambahan pasukan seperti yang heboh digembar-gemburkan kini, adalah tidak dapat dipastikan sama sekali. Semuanya mungkin kerana etika kerja FAM yang cukup terkenal misteri dan penuh dengan kejutan, seolah-olah bekerja dengan makhluk ghaib yang tidak teragak-agak untuk campur tangan sekiranya sesuatu keputusan tidak berpihak kepada mereka.

Tidak mengambil kira sebarang keputusan kontroversi di saat akhir, marilah kita bersama-sama mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super sambil berharap musim depan akan menjanjikan musim yang lebih bermakna untuk kita, rakyat Perlis. Terima Kasih kepada pihak pengurusan, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) terutamanya Tuan Presiden yang banyak berjasa dalam memastikan perjalanan kita ke Liga Perdana berjalan lancar. Tidak dilupakan, pemain yang telah bertungkus lumus membanting tulang bagi sesuap rezeki yang halal begitu juga seluruh peminat bola sepak negeri Perlis yang tidak pernah putus asa bersorak dan terus memberikan sokongan tidak kira dikala menang ataupun menang.

Akhir kata, ayuh ke Liga Perdana dan ayuh capai kejuaraan liga disana, sebelum kita kembali ke kancah saingan tertinggi bola sepak Malaysia.

Gambar oleh Mohd Shari Saidin

3 comments:

  1. ya allah. sedihnya aku tgok stadium maha kosong. :'(

    ReplyDelete
  2. perlis tetap dihati..menang kalah perkara biasa,,,jatuh bangunnya sesebuah pasukan adalah kuasa yang maha esa dan pemainnya sendiri..gudluck perlis dalam liga perdana nanti..

    ReplyDelete