No Al Calcio Moderno!Against Modern Football!



No Al Calcio Moderno!No Al Futbol Moderno!Against Modern Football! atau dalam apa sahaja bahasa sekalipun, ianya tetap membawa maksud yang sama; satu prinisip dan mentaliti yang menentang perkembangan Bola Sepak arus moden. Prinsip ini memang cukup sinonim dengan pergerakan serta fahaman ULTRAS dari serata pelusuk dunia. Semuanya sepakat menolak perkembangan bola sepak moden yang pada pemerhatian mereka adalah sesuatu yang tidak sihat dan kelak akan membunuh terus semangat cintakan bola sepak. Persoalanya, apakah antara sebab musabab yang membuatkan pergerakan ULTRAS seantero dunia sepakat dalam menentang perkembangan bola sepak moden.

BOLA SEPAK MODEN

Berdasarkan gambaran kasar dari fahaman ULTRAS, bola sepak moden yang dirujuk dalam slogan "AGAINST MODEN FOOTBALL" boleh didefinasikan sebagai perkembangan bola sepak yang bertuhankan wang, bernabikan rakan kongsi korporat yang hanya mengejar kekayaan, berkiblatkan kelab-kelab besar Eropah yang dikuasai pemilik yang lebih meminati wang dan kekayaan daripada bola sepak itu sendiri, berkitabkan bola sepak secara langsung dari rangkaian televisyen swasta berbayar yang mana kebanyakan penganutnya terdiri daripada penyokong-penyokong plastik yang tiada perasaan dan suka mengagungkan liga bola sepak luar.

Rangkaian televisyen swasta bebayar yang telah membunuh budaya berkunjung ke stadium

KEKEJIAN BOLA SEPAK MODEN

Kesan langsung dari perkembangan yang cukup keji dan tidak sihat ini, bola sepak semakin hari semakin dijadikan sebagai alat untuk mengaut seberapa banyak duit dan kekayaan yang mungkin. Jika dahulunya tiket-tiket perlawanan liga-liga utama Eropah berada pada tahap yang mampu dibeli oleh segenap lapisan masyarakat, tetapi kini tidak lagi. Tiket-tiket perlawanan kini semakin melambung tinggi bagai harga minyak yang sering dinaikan Kerajaan Malaysia. Sebagai contoh, MSK Zilina; sebuah kelab Slovakia, telah menaikan harga tiket perlawanan mereka kepada Euro 300 untuk perlawanan Liga Juara-Juara menentang Chelsea; lebih dari 5 kali ganda daripada harga tiket yang biasanya melibatkan pasukan mereka. Demi mengaut keuntungan, mereka sanggup menindas serta mengambil kesempatan terhadap penyokong-penyokong setia mereka sendiri. Penganut agama duit yang cukup warak!

Syarikat yang telah membeli SV Austria Salzburg dan telah menukar nama dan warna kelab pasukan tersebut sebagai pasukan baru Red Bull Salzburg

Namun sebab utama yang membangkitkan kemarahan ULTRAS seluruh dunia lebih daripada sifat tamak golongan-golongan korporat ini mengejar duit dan kekayaan ialah, bagaimana golongan-golongan korporat yang keji ini cuba mengajar ULTRAS seluruh dunia mengenai cara yang sebetulnya dalam menyokong pasukan mereka; iaitu dengan menjadi plastik seplastik plastiknya. Golongan-golongan keji yang mempunyai banyak saluran yang mengawal perkembangan bola sepak Eropah ini menggunakan pelbagai peraturan-peraturan yang tidak masuk akal dalam menekan pergerakan ULTRAS yang dilihat sebagai batu penghalang terbesar dalam memplastikan seluruh peminat bola sepak sedunia. Antara peraturan-peraturan bodoh yang sehingga kini digunapakai ialah peraturan yang tidak membenarkan peminat-peminat Liga Inggeris dari berdiri ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris. Tidak cukup dengan peraturan menghalang peminat-peminat berdiri, peraturan yang lebih tidak masuk akal juga menetapkan yang bendera dan banner selain dari keluaran kelab/pasukan tidak dibenarkan dibawa masuk atau digantungkan di dalam stadium. Cukup menyedihkan.


Terbaru, di Itali, bagi membunuh terus perjuangan ULTRAS di Semenanjung Itali, pihak pemerintah telah mencadangkan undang-undang yang seakan-akan undang-undang sama yang telah membunuh terus terrace-passion dari stadium-stadium seluruh United Kingdom; undang-undang tersebut dikenali sebagai Tessera Del Tifoso. Berdasarkan undang-undang ini, setiap peminat bola sepak Itali diwajibkan mempunyai Kad Pengenalan diri penyokong yang mana memudahkan pihak berkuasa dalam urusan menghadkan 'kebebasan' mereka; dalam memberikan sokongan terhadap pasukan kesayangan mereka.

BOLA SEPAK MODEN DALAM KONTEKS MALAYSIA

Seperti yang kita sedia maklum, bola sepak Malaysia ketika ini berada pada tahap yang terbaik untuk kita kembali mengecapi zaman keagungan bola sepak yang pernah kita kecapi suatu masa dahulu. Antara sebab utama yang membantutkan perkembangan bola sepak kita dari sebuah kuasa besar kepada pasukan yang tidak berapa besar dan tidak berapa kecil kini adalah kegagalan tampuk pemerintahan persatuan bola sepak kita dalam memodenkan liga, bola sepak kita, perkembangan akar umbi serta pengurusan itu sendiri. Jadi tidak banyak elemen-eleman bola sepak moden yang dapat diperhatikan dalam liga Malaysia yang sesungguhnya tidak moden langsung.

Namun selepas kejayaan Pasukan Kebangsaan Malaysia menjuarai Piala Suzuki, barulah nampak tanda-tanda yang liga Malaysia bakal dimodenkan. FAM atas nama pembangunan bola sepak Malaysia telah mengadakan usahasama dengan rakan penaja baru, Astro dalam urusan tajaan Liga Malaysia. Usahasama tersebut bukan sahaja menyaksikan Astro menjadi rakan penaja utama rasmi Liga Malaysia, tetapi juga menjadikan Astro sebagai satu-satunya entiti yang 'layak' menguruskan hal ehwal promosi yang berkaitan liputan secara rasmi mahupun berita-berita terkini. Akibatnya, tiada lagi siaran langsung secara PERCUMA di saluran kerajaan berdasarkan terma dalam perjanjian bersama Astro; baik di kaca televisyen mahupun dari corong radio. Liga Malaysia kini adalah hak ekslusif pelanggan-pelanggan berbayar syarikat keparat Astro sahaja dan bukan lagi hak milik rakyat Malaysia.

Bagi memperbaiki situasi yang sedia ada, terdapat desas desus yang kononya sebuah syarikat penyiaran swasta tidak berbayar akan turut serta menyiarkan secara langsung perlawanan liga Malaysia; menjadikan 3 stesyen televisyen Malaysia yang akan membuat liputan mengenai Liga Malaysia. Terlalu banyak pro dan contra berdasarkan situasi semasa ini, dan pandai-pandailah kamu orang yang besar-besar panjang ni baca sendiri hehe.

Bagi pihak BGB, jika ditakdirkan bertambahnya stesen telvisyen yang membuat liputan Liga Malaysia secara langsung, diharapkan jumlah penonton yang hadir ke stadium tidaklah terjejas. Kerisauan ini ada logiknya, berdasarkan tinjauan yang dilakukan Sportsmalaysia, terdapat sedikit pengurangan jumlah kehadiran penonton ke stadium yang mana perlawanan tersebut boleh diikuti secara langsung melalui televisyen berbanding ketika tiada perlawanan secara langsung di televisyen.

BRIGATE GIALLOBLU IS AGAINST MODERN FOOTBALL!

Bijak pandai ada menyebut, yang buruk dijadikan sempadan dan yang baik dijadikan tauladan. Berpegang atas prinsip tersebut, BGB Perlis mengambil kesempatan melalui penulisan blog ini untuk menjelaskan prinsip AGAINST MODERN FOOTBALL yang diamalkan dalam pergerakan Ultras Perlis. Perlu diingatkan, tidak semua prinsip AGAINST MODERN FOOTBALL diguna pakai dalam pergerakan ini berdasarkan sebab-musabab tertentu.

Selain menentang monopoli oleh syarikat keparat Astro serta kebimbangan mengenai budaya berkunjung ke stadium yang mungkin akan lenyap terus akibat siaran secara langsung perlawanan yang berlebihan, BGB Perlis menggariskan 3 lagi prinsip utama yang diperjuangkan dalam pergerakan ini.

Menentang pembayaran gaji yang melampau terhadap pemain

Masih ingatkah kita tentang apa yang pernah terjadi kepada MPPJ FC; kelab pertama yang pernah memenangi Piala Malaysia, ketika zaman kemuncak mereka. Pembayaran gaji yang tidak masuk akal kepada pemain-pemain yang bergelar 'bintang' yang akhirnya menjadi faktor utama pembungkusan pasukan MPPJ dalam kancah bola sepak negara. Sedikit mengecewakan, sehingga kini, di waktu ekonomi bola sepak kita masih belum pulih sepenuhnya, masih ada pasukan yang sanggup menawarkan gaji sehingga rm20++k demi memancing mana-mana pemain meninggalkan pasukan lama mereka. Pemain bodoh mana yang akan menolak gaji sehingga rm20k. Jadi diharapkan persatuan bola sepak negeri lebih cerdik dalam menguruskan kontrak pemain agar generasi pemain yang bermain semata-mata mengejar wang tidak akan pernah wujud di bumi bertuah ini.

Gaji 20k tapi main macam....

Menentang kenaikan harga tiket perlawanan Liga Malaysia

Selepas kejayaan Skuad Piala Suzuki, kelihatanya seolah-olah 1 Malaysia telah kembali berselera dalam menyokong bola sepak tempatan. Hinggakan ada sesetengah pihak yang bertuhankan wang dengan tidak berhati perutnya menaikan harga tiket perlawanan Liga Malaysia; seolah-olah ingin mengaut sesuatu dari keadaan semasa yang cukup hype dengan bola sepak tempatan. Peningkatan harga tiket yang tidak masuk akal juga turut menyumbang kepada bertambahnya bilangan peminat yang hanya menyokong pasukan mereka dari depan kaca televisyen sahaja.

Menentang sekatan larangan ke atas penggunaan flag pole

Satu larangan yang bodoh lagi sia-sia. Pernah berlaku ketika Perlawanan Kelayakan Olimpik London 2012 diantara pasukan kebangsaan kita bertemu Pakistan, dimana Pegawai-Pegawai FAM tidak senang duduk dan panas bontot melihat sebaris kibaran panji-panji dari Gate 15 Stadium Shah Alam. Sebelum perlawanan bermula, FAM telah menghantar pegawai mereka berserta 2 orang pegawai polis bagi meminta kerjasama dari kami yang bergabung bersama ULTRAS MALAYA untuk tidak mengibarkan panji-panji tersebut; atas sebab-sebab yang kurang jelas dan sukar diterima akal. Akibat sayangkan pasukan kebangsaan dan ketidakinginan berlakunya sebarang masalah, kami bersetuju untuk tidak mengibarkan panji-panji tersebut.

Situasi yang sama pernah berulang di Stadium Utama Negeri dan pihak BGB begitu kesal dengan tindakan pegawai FAM yang dilihat tidak dapat membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Selepas beberapa sesi perbincangan dengan pihak Persatuan Bola Sepak Perlis, BGB Perlis telah diberikan kebenaran untuk membawa masuk panji-panji kami; bukan sahaja panji-panji, tetapi pembakaran flare juga turut mendapat lampu hijau dari pihak PFA untuk kegunaan di sekitar Curva kami di Stadium Utama Negeri. Terima Kasih diucapkan kepada PFA yang peka terhadap keinginan dan corak sokongan kami! Kami berharap FAM juga dapat memberi sedikit kelonggaran terhadap ULTRAS MALAYA ketika perlawanan melibatkan Skuad Kebangsaan kelak. Akhir kata, NO AL CALCIO MODERNO!AGAINST MODERN FOOTBALL!


1 comment:

  1. Kami merupakan pelajar Universiti Teknologi MARA (Perak) dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka. Ini merupakan salah satu tugasan kami untuk subjek "Communication and Art Direction". Video ini mengenai Perlis FA sewaktu zaman kegemilangan mereka. Kami berharap video ini dapat menaikkan semula semangat penyokong Perlis FA Sila nyatakan pandangan atau pendapat anda tentang video ini. Kerjasama anda amatlah kami hargai. Sekian, Terima Kasih. https://www.youtube.com/watch?v=38gfHCXbnMU

    ReplyDelete